Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kulim, merupakan politeknik yang ke 16 dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Di negeri Kedah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) merupakan politeknik yang kedua iaitu selepas Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Jitra.
PTSB mula beroperasi pada 1 Mac 2002 di kampus sementara di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan berpindah ke kampus tetapnya seluas 100 ekar di Taman Teknologi Tinggi Kulim pada 3 Mac 2003. Pada tanggal 9 Jun 2003, PTSB mula mengambil pelajar kohort pertamanya seramai 507 pelajar. Kini jumlah pelajarnya adalah melebihi 4,500 orang.Setelah beroperasi selama 5 tahun, pada tanggal 27 Mac 2007, PTSB dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan AlMu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
PTSB diterajui oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh dua (2) orang Timbalan Pengarah berserta enam (6) orang Ketua Jabatan. Berbekalkan semangat dan komitmen tinggi daripada barisan hadapan dan semua staf, PTSB sentiasa berusaha untuk menjadi salah sebuah politeknik terbaik di Malaysia.
Di PTSB, pelajar boleh memilih untuk mengikuti program-program pengajian di peringkat diploma yang ditawarkan oleh empat (4) jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan. Disamping itu PTSB turut menawarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat melalui Kursus Secara Sambilan yang dikendalikan di setiap hujung minggu.
Adalah diharap dengan berbekalkan segala kekuatan yang ada dari segi tenaga kerja, kemudahan dan sokongan semua pihak serta kedudukannya yang strategik di Taman Teknologi Tinggi Kulim, maka visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan serta azam untuk melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab akan berjaya dicapai.