KEPUASAN PELANGGAN TERHADAP PENYAMPAIAN PENGAJARAN PENSYARAH DI UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM)


ABSTRAK

Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap kepuasan pelanggan terhadap penyampaian pengajaran pensyarah melalui aspek personaliti pensyarah, kemahiran pengajaran pensyarah dan pengetahuan pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Responden kajian ini terdiri daripada 294 orang pelajar tahun akhir enam buah fakulti di UTHM. Kajian ini berbentuk tinjauan yang menggunakan data kuantitatif dan data dikumpul dengan menggunakan instrumen soal selidik. Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan perisian “Statistical Package for Social Science” (SPSS) versi 11.0. Dapatan kajian melalui analisis skor min, membuktikan bahawa secara keseluruhannya kepuasan pelanggan terhadap penyampaian pengajaran pensyarah-pensyarah di UTHM berada pada tahap sederhana dengan jumlah skor min 3.60. Melalui analisis ujian t, dapatan menunjukkan terdapat perbezaan statistik yang signifikan terhadap kepuasan pelanggan dari aspek penyampaian pengajaran pensyarah antara pelajar kejuruteraan dan pelajar bukan kejuruteraan pada aras signifikan .05. Melalui analisis regresi pula, menunjukkan bahawa melalui tiga aspek penyampaian pengajaran yang telah disenaraikan hanya dua aspek sahaja yang mempunyai hubungan positif yang signifikan pada aras 95%. Daripada dapatan kajian, dapat disimpulkan bahawa proses kritikal yang dikenalpasti perlu dipertingkat atau ditambahbaik bagi meningkatkan lagi kualiti institusi secara berterusan.


Oleh :
Pn. Nor Aspalaili Binti Nordin