KULIM, 15 Mei 2025 – "Saya tak sangka ada begitu banyak pilihan dalam bidang TVET. Dulu saya fikir universiti sahaja jalan untuk peluang kerja yang bagus," ujar Ahmad Shahril Iman, lepasan SPM dari Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, selepas menghadiri Karnival Pengajian Tinggi Kulim Fasa 2 yang berlangsung hari ini.
Karnival yang diadakan di Perpustakaan Al-Khawarizmi, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu berjaya menarik hampir 400 pengunjung terdiri daripada lepasan SPM, STPM, matrikulasi dan diploma yang hadir bersama ibu bapa dan guru bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai laluan menyambung pelajaran ke pendidikan tinggi.
Menurut Haji Mohd Ruzi Hamzah, Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), matlamat utama program ini untuk memberi pendedahan secara meluas mengenai pilihan pengajian serta peluang kerjaya terutamanya dalam bidang TVET.
"Ramai pelajar yang belum jelas tentang laluan selepas SPM, jadi karnival ini diadakan untuk mendekatkan mereka dengan pelbagai institusi dan memberi keyakinan tentang masa depan mereka," katanya.
Antara pengisian utama termasuk pameran program pengajian oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), institusi latihan kemahiran (ILKA), dan institusi pendidikan MARA (IPMa). Turut berlangsung adalah sesi penasihatan berkaitan UPU Online, pencerahan mengenai peluang biasiswa dan soal jawab secara bersemuka bersama wakil institusi.
 
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat