GEORGETOWN – Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mempamerkan saingan sengit dalam pertandingan e-sukan MLBB sempena Sambutan Hari Belia Negara Pulau Pinang apabila muncul sebagai naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800.
Pencapaian ini secara tidak langsung bertindak sebagai persiapan mereka menjelang penyertaan dalam kejohanan lebih besar yang dijadual berlangsung hujung bulan ini di Johor Bahru. Pasukan PTSB mempamerkan prestasi membanggakan dengan kemenangan berturut-turut (winstreak) sepanjang pusingan saringan dan kalah mati sebelum mereka terpaksa akur apabila tewas di perlawanan akhir kepada pasukan lawan.
Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Encik Mozakkir bin Buyong Mokhtar, pertandingan ini bertujuan memperkukuh pembangunan arena e-sukan negara yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia.
“E-sukan hari ini bukan sekadar permainan digital malah berpotensi besar dalam penjanaan ekonomi negara,” jelasnya.
Pertandingan yang menghimpunkan penyertaan dari sekolah dan institusi pengajian tinggi ini menjadi platform terbaik buat pasukan PTSB menimba pengalaman dan mengasah kemahiran mereka. Dengan semangat dan latihan intensif, pasukan ini diyakini mampu mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi.
 
Pelaporan:
Muhammad Khairul Farhan bin Khairul Anuar
Jabatan Sukan, Kokurikulum & Kebudayaan (JSKK)
 
Foto:
Amirul Zaharin bin Yusoff
Pusat Kecemerlangan Atlet (PKAT) PTSB