KULIM, 10 Jun 2025 – Batalion Kedua, Rejimen 513 Askar Wataniah diberi tanggungjawab menganjurkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2025 yang berlangsung dari 3 Jun hingga 2 Julai 2025 di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim.
Majlis pembukaan kursus disempurnakan oleh Lt. Kol Zuhairi bin Shaari@Nasir, Pegawai Memerintah Batalion Kedua, Rejimen 513 Askar Wataniah.
Turut hadir, Dr. Haji Samsul bin Abd Rashid, Timbalan Pengarah PTSB serta dua calon Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Kedah, Encik Chye Chang Keng dan Encik Loh Keat Siang.
Dalam majlis tersebut, satu sumbangan telah disampaikan oleh Mejar (K) Lau Wai Seng, Ahli JAKPAW Negeri Kedah bersama Encik Chye dan Encik Loh kepada Lt. Kol Khairudin bin Mat Yusup, Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua sebagai tanda sokongan terhadap program ini.
Kursus ini melibatkan 58 orang anggota Perajurit Muda dan memberi penekanan kepada latihan intensif selama sebulan bagi membentuk asas ketenteraan yang kukuh seiring dengan nilai-nilai murni dan budaya disiplin dalam sistem ketenteraan.
Penganjuran kursus ini bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara malah mencerminkan kerjasama strategik antara politeknik dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Foto dan pelaporan:
Leftenan Muda Normawar binti Ali
