ARAU - Buat julung kalinya, Kem Tahunan dan Pentauliahan Briged Bomba Politeknik Malaysia (MalPFiBAC) 2025 dianjurkan secara rasmi pada 20 hingga 24 Jun 2025 yang lalu melibatkan 208 pelajar serta pegawai penyelaras dari tujuh buah politeknik seluruh negara. Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Program ini bukan sekadar latihan fizikal atau teori keselamatan semata-mata tetapi satu proses pembentukan karakter dan kepimpinan dalam kalangan pelajar TVET," ujar Dato' Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Sepanjang program, peserta diuji melalui pelbagai aktiviti mencabar seperti Brigade Rescue Challenge (BRC) dan Brigade Orienteering Challenge (BOC) yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental tetapi juga keupayaan bekerja secara berpasukan dalam situasi kecemasan.
Majlis Pentauliahan telah disempurnakan oleh TPjB Abdul Razak bin Muda, Pengarah Bahagian Latihan JBPM yang mewakili Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato' Ts. Nor Hisham bin Mohammad bertempat di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, (PTSS).
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila 52 pelajar ditauliahkan dan berjaya meraih Naib Johan bagi acara BRC serta saguhati BOC. Qayyim Darwisy bin Abdul Malik dari Jabatan Kejuruteraan Awam turut diumumkan sebagai Penuntut Terbaik PTSB. Pencapaian ini juga merupakan penghargaan kepada Jurulatih Bomba Kulim Hi-Tech yang berdedikasi, Encik Muhammad Zaini bin Shaari dan Encik Muhammad Asyraf Zarrin bin Baharudin.
Secara keseluruhannya, MalPFiBAC 2025 bukan sekadar platform untuk mengasah ilmu, disiplin dan kemahiran taktikal dalam pengurusan kecemasan malah menjadi medan penting yang menyemai semangat jati diri, keberanian dan kerjasama dalam kalangan anggota briged bomba politeknik.
Edisi sulung ini membuka lembaran baharu dalam usaha melahirkan insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga bersedia tampil ke hadapan apabila khidmat mereka diperlukan.
Diharapkan program ini dapat diteruskan secara berstruktur dan diperluas penyertaannya pada masa akan datang demi membina generasi yang berilmu, berjiwa kental dan sentiasa bersedia menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara dalam apa jua situasi lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan saat genting dan mencabar.
Foto dan pelaporan:
Norshahidah binti Manaf
Ajutan Briged Bomba PTSB
