KULIM - Program Discover TVET Through English anjuran Jabatan Pengajian Am, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang, Baling terlaksana dengan jayanya.
Berteraskan tema TVET, program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta tentang peranan penting Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam membentuk kerjaya masa hadapan di samping memperkasa penguasaan asas Bahasa Inggeris dalam konteks teknikal dan vokasional.
Melalui pendekatan interaktif dan mesra pelajar, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Drain Detective, Ball in the Cage dan Spell It Right yang mengetengahkan kemahiran dunia sebenar seperti pembuatan, penaakulan mekanikal dan kesedaran spatial yang merupakan elemen penting dalam bidang elektronik, robotik dan penyelenggaraan.
Aktiviti Spell It Right pula memfokuskan kepada penguasaan istilah industri melalui kerja berpasukan dan pendekatan kinestetik sekali gus menggalakkan komunikasi efektif dengan mengekalkan kosa kata yang tepat dalam persekitaran teknikal.
Sesi kedua diteruskan dengan permainan Cup Stacking & Clay Play yang turut disertai dengan pembentangan dalam Bahasa Inggeris oleh peserta. Keberanian mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sepanjang program jelas mencerminkan keberkesanan pendekatan yang digunakan.
Peserta kemudiannya dibawa ke Bengkel Kejuruteraan Mekanikal dan diberi taklimat berkaitan fasiliti TVET. Lawatan ini diharap dapat membuka minda dan menyemai minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET di politeknik khusus PTSB.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memupuk kesedaran awal, keyakinan berbahasa Inggeris dan minat terhadap bidang teknikal dalam kalangan pelajar sekolah selaras dengan matlamat menerapkan pendidikan TVET di peringkat akar umbi.
Pelaporan:
Naimah binti Ismail, Jabatan Pengajian Am (JPA)
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan, Unit Komunikasi Korporat (UKK)





