KULIM HI-TECH, 17 Julai 2025 - Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menerima kunjungan istimewa dua tokoh berpengaruh dalam bidang komunikasi dan penerbitan iaitu Encik Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dan Haji Mohd Yusri Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Galeri Ilmu Sdn. Bhd., semalam.
Kehadiran mereka disambut mesra oleh Hajah Norlili Juwita Arshad, Pengarah PTSB diiringi Puan Selvamalar Selvarajan, Ketua Unit Komunikasi Korporat (KUKK).
Meskipun baharu sahaja selesai sesi penggambaran di sekitar Kulim, kesudian kedua-dua tokoh meluangkan masa singgah ke PTSB disifatkan sebagai satu penghormatan besar buat politeknik ini.
Encik Sayed Munawar, figura yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam dunia penyiaran dikenali luas dengan kreadibiliti beliau sebagai suara penting dalam mengemudi wacana dasar negara manakala Haji Yusri memimpin Galeri Ilmu sebagai peneraju kandungan berimpak tinggi terus komited memperkasa dunia penerbitan dan kandungan ilmiah tanah air.
Pertemuan ringkas namun sarat nilai ini turut membuka ruang untuk meneroka potensi sinergi strategik dalam aspek pembangunan kandungan, latihan komunikasi serta penerbitan ilmiah yang berupaya memberi manfaat kepada pelajar dan warga kerja PTSB secara keseluruhannya.





