KULIM HI-TECH – Dalam usaha memperkuat ekosistem keusahawanan yang lebih dinamik dan tersusun, Unit Keusahawanan (UKES) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Bengkel Road to Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi (AKKPT) 2027 – Siri 1.
Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada mentor dan pasukan inkubator keusahawanan PTSB berkenaan penyediaan dokumen pencalonan mengikut garis panduan AKKPT 2027.
Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif ke arah melahirkan pelajar dan graduan keusahawanan yang bukan sahaja berpendidikan malah diiktiraf melalui pencapaian aktif di peringkat kebangsaan.
Fatimah Saidin selaku penceramah jemputan berkongsi kriteria-kriteria utama penilaian AKKPT serta input strategik berkaitan hala tuju dan tindakan yang perlu diambil. Seramai 25 pensyarah keusahawanan dari pelbagai jabatan telah menyertai bengkel ini komiten untuk mencapai misi tersebut.
Turut hadir memberikan sokongan, Wan Nor Sariza Wan Husin, Ketua Unit Keusahawanan PTSB yang menyeru agar semua pihak bergerak seiring dalam mendokong inisiatif keusahawanan di PTSB.
UKES turut mengambil ruang mengadakan jamuan perpisahan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Amirul Zahrin yang telah berkhidmat bersama UKES sejak 2016. Seluruh warga UKES merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang penglibatan bersama UKES PTSB.
Pelaporan:
Fazaliana Zamzuri
Unit Keusahawanan PTSB
Foto:
Nur Elyani Musa & Zuraini Ibrahim
Unit Keusahawanan PTSB





