LANGKAWI – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Bengkel Kajian Keperluan Pasaran atau Market Needs Analysis (MNA) Zon Utara bertujuan memperkukuh penawaran program TVET agar kekal relevan dan berdaya saing selaras dengan kehendak industri semasa.
Bengkel yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai 2025 di Hotel HIG, Pulau Langkawi ini melibatkan penyertaan daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Politeknik Seberang Perai (PSP). Program ini telah diselia oleh Dr. Yusrizal Sufardi bin Mohd Yunan dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) selaku penceramah utama.
Sepanjang bengkel, para peserta telah membangunkan laporan terperinci yang menggariskan cadangan penawaran program Diploma baharu serta justifikasi pengekalan program Diploma sedia ada di institusi masing-masing. Hasil ini dijangka memberi impak positif kepada pengukuhan kualiti penawaran program TVET di Zon Utara.
Pengerusi program, Puan Zafarida binti Kadir, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran bengkel dan mengiktiraf kerjasama erat antara peserta dari kedua-dua politeknik sebagai pemangkin kejayaan. Beliau turut berharap agar inisiatif ini menjadi asas kepada penganjuran lebih banyak program MNA di Zon Utara pada masa hadapan demi memastikan penawaran program sentiasa memenuhi keperluan pasaran kerja.
Foto dan pelaporan:
Dr Neoh Hock Seng
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal





