KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menerima kunjungan delegasi Pusat Islam An-Nur, Politeknik Seberang Perai (PSP) dalam satu Lawatan Penanda Aras yang bertujuan memperkasakan tadbir urus pusat Islam kedua-dua politeknik.
 
Delegasi PSP yang terdiri daripada sembilan orang wakil diketuai oleh Penasihat Pusat Islam An-Nur, Puan Nurshahiza Mohamad Isa. Kehadiran mereka disambut mesra oleh delegasi PTSB yang diketuai Penasihat Pusat Dakwah dan Tarbiah Al-Jazari (PDTJ), Dr. Hj. Samsul Abd Rashid.
 
Lawatan ini menjadi platform perkongsian amalan terbaik khususnya berkaitan pengurusan kewangan dan sistem agihan zakat di institusi masing-masing. Sesi perbincangan menumpukan strategi dan inovasi bagi memastikan pengurusan dana dijalankan secara telus, efisien serta memberi impak maksimum kepada golongan sasar.
Program seperti ini penting bagi mewujudkan sinergi antara institusi. Perkongsian ini diharap memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam memantapkan tadbir urus pusat Islam dan pengurusan zakat sekali gus memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan.
Perkongsian ilmu dan pengalaman diyakini mampu menyumbang kepada pemantapan sistem pengurusan yang lebih cemerlang di kedua-dua institusi.
 
Foto dan pelaporan:
Siti Aishah Othman
Pusat Dakwah & Tarbiah Al-Jazari (PDTJ)