SUNGAI PETANI – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah mengadakan lawatan perbincangan pemantapan kolaborasi bersama G2R Sdn. Bhd. Lawatan ini bertujuan menilai keberkesanan pelaksanaan Diploma Profesional Telekomunikasi (PDT) yang berakhir pada 24 Jun 2025 lalu di samping membincangkan perancangan kerjasama strategik masa hadapan antara kedua-dua pihak.
Delegasi PTSB diketuai oleh Hajah Norlili Juwita Arshad, Pengarah PTSB bersama Dr. Mohd Nor Azam Mohd Dali, Timbalan Pengarah Akademik serta pegawai kanan politeknik termasuk Encik Imran bin Ismail, Ketua Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL); Puan Surina Subbri, Ketua Unit Kewangan, Akaun dan Perolehan; barisan pengurusan JKE; penyelaras dan tenaga penggerak utama PDT.
 
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat pengurusan G2R mengenai struktur organisasi, skop perkhidmatan dan penglibatan syarikat dalam PDT. Seterusnya, Encik Mohd Affendy Chi’ Nong membentangkan ringkasan aktiviti kolaborasi manakala Puan Masburah Mustaffa menyampaikan laporan pelaksanaan PDT selama 24 minggu.
Delegasi turut dibawa meninjau kemudahan dan teknologi operasi G2R bagi menilai kesesuaian lokasi latihan serta memahami keperluan kompetensi industri semasa.
 
Secara keseluruhan, lawatan ini mencapai objektif utama iaitu menilai keberkesanan PDT dan merangka strategi kolaborasi baharu yang lebih mantap.
PTSB menghargai kerjasama erat dengan G2R Sdn. Bhd. dan berharap hubungan strategik ini dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan pendidikan dan latihan TVET negara.
 
Foto dan pelaporan:
Masburah Mustaffa
Jabatan Kejuruteraan Elektrik