BALING - Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK) dengan kerjasama Persaudaraan Pengakap BP, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan I-Care Kulim telah menganjurkan Program CSR Bersama Warga Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubok Legong, Kampung Baru, Baling, baru-baru ini. Program ini disertai oleh pensyarah JMSK, ahli Persaudaraan Pengakap BP dan komuniti setempat.
Tiga objektif utama telah dicapai, iaitu:
1. Menjalin hubungan baik dengan komuniti Orang Asli melalui pemberian bantuan dan khidmat sosial.
2. Menerapkan nilai kemanusiaan serta semangat kesukarelawanan di samping mempelajari nilai kebudayaan Orang Asli.
3. Meningkatkan pengetahuan agama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli melalui pendekatan dakwah sejahtera berteraskan kasih sayang, toleransi dan elemen kerohanian.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ziarah warga emas, program mewarna pelajar Tadika Kemas, gotong-royong dan penyerahan bantuan. Pendekatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim malah memperkukuh jaringan kemasyarakatan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi impak positif kepada kedua-dua pihak. Ia menerapkan nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta dan membantu memperkasa komuniti Orang Asli melalui sokongan yang diberikan. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan serta diperluas demi membina masyarakat yang inklusif dan prihatin.
Foto dan pelaporan:
Masniza Musa
Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK)





