KULIM HI-TECH, 6 Ogos 2025 – Program Jualan Rahmah Madani @ Kampus anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah dengan kerjasama Koperasi Politeknik Kulim Berhad telah berlangsung dengan meriah di perkarangan Koperasi Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) hari ini.
Pelancaran program telah disempurnakan oleh Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita Arshad yang menyifatkan inisiatif ini sebagai satu usaha tepat dalam membantu pelajar mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
"Ini bukan yang pertama dan bukan juga yang terakhir. Kita akan terus menyokong inisiatif seperti ini agar manfaatnya dapat dirasai oleh pelajar serta menyumbang kepada pengukuhan ekonomi setempat," ujar beliau.
Pensyarah PTSB, Hasmawazi Hamzah turut berkongsi pandangan terhadap impak program ini kepada pelajar.
"Ini bukan sekadar program jualan tetapi satu bentuk pendidikan tidak formal untuk pelajar ambil serius tentang keperluan membuat keputusan kewangan yang bijak. Ia juga membuka peluang kepada koperasi kampus untuk lebih aktif dan responsif terhadap keperluan warga PTSB."
Program yang berlangsung selama satu hari ini menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga rahmah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh warga.
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat (UKK)





