KULIM HI-TECH - Seramai 98 pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang mencapai PNM 3.5 dan ke atas pada peperiksaan akhir Sesi 2 2024/2025 telah diraikan dalam Majlis Anugerah Ketua Jabatan bertempat di Dewan Kuliah Mekanikal pada 10 Ogos yang lalu.
Majlis dirasmikan oleh Encik Azhar Fikri selaku Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Turut hadir ialah ketua-ketua program dan pensyarah jabatan sebagai tanda sokongan terhadap usaha pelajar dalam bidang akademik.
Encik Azhar dalam ucapannya menzahirkan kegembiraan dengan bilangan pencapaian pelajar yang cemerlang namun berharap pelajar juga dapat melengkapkan kecemerlangan diri dari pelbagai aspek seperti sahsiah, kokurikulum, kemahiran insaniah, kepimpinan dan nilai-nilai murni.
Pelajar yang cemerlang juga perlu mempunyai daya tahan yang tinggi sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak. Setiap peserta menerima sijil Anugerah Kecemerlangan Jabatan dan dihidangkan jamuan ringan pada akhir program.
Melalui penganjuran program ini, diharapkan pelajar akan lebih bermotivasi untuk mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang serta memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Foto dan pelaporan:
Saidatun Hawani Ahmad
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal





