KULIM – Unit Keusahawanan (UKES), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Program Keusahawanan Digital bertajuk 'Usahawan Digital: Dari Idea ke Platform' yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama (DKU), PTSB. Program ini mendapat penyertaan pelajar serta individu yang berminat menceburi bidang keusahawanan digital.
Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai konsep asas perniagaan dan keusahawanan di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, pemasaran serta pengurusan perniagaan. Lebih penting, peserta turut didedahkan dengan aspek keusahawanan digital iaitu bagaimana menukar idea kepada platform perniagaan yang berdaya saing.
Dalam era teknologi yang serba pantas, peluang menjadi usahawan semakin terbuka luas melalui platform e-dagang, media sosial dan aplikasi mudah alih. Namun, masih ramai yang kurang memahami proses membina strategi perniagaan digital yang mantap.
Justeru, program ini dilihat sebagai inisiatif tepat untuk membimbing peserta membangunkan idea kreatif mereka hingga berjaya dipasarkan secara efektif.
Melalui pendekatan seperti ini, PTSB bukan sahaja menyokong pembangunan bakat pelajar dalam bidang TVET tetapi juga memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran keusahawanan digital yang semakin mencabar.
Foto dan pelaporan:
Zuraini Ibrahim
Unit Keusahawanan





