KUALA LUMPUR – Pameran POLYCC sempena Persidangan TVET ASEAN (ATVET) telah berlangsung minggu lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan penglibatan lima Politeknik Malaysia terpilih.
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) turut serta dengan menghantar empat pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal mewakili Centre of Technology (COT) PTSB. Mereka ialah Azhar bin Fikri, Izhar bin Ahmad, Wan Khairul Ariffin bin Wan Zakaria dan Hj. Anuar bin Jusoh selaku Timbalan Ketua COT.
Persidangan dan pameran ASEAN TVET ini menjadi wadah penting menghimpunkan pelbagai pihak dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional serantau. Ia berperanan mempromosikan inovasi, teknologi baharu serta penyelesaian praktikal bagi memenuhi cabaran kerjaya masa hadapan.
Dengan tema β€˜Advancing Digital and Green Transformations Through an Inclusive and Future Ready TVET System’, pameran ini menekankan keperluan menyesuaikan latihan vokasional dengan perkembangan teknologi dan tuntutan pasaran kerja. Seiring tema tersebut, PTSB mengetengahkan projek Inkubator Penetasan Unggas iaitu inisiatif agriteknologi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat dalam meningkatkan taraf hidup melalui penerapan teknologi moden.
Selain membuka peluang pendedahan teknologi terkini, pameran ini juga menggalakkan jaringan kolaborasi berterusan antara institusi pendidikan dan industri.
Usaha sedemikian diharap dapat mendorong institusi TVET melabur dalam teknologi moden serta memperkukuh latihan berterusan untuk pendidik dan pelajar agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
Β 
Foto dan pelaporan:
Dr. Ros Saidatunnaziah Md Yusoff
Centre of Technology (COT)