KULIM – Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Angkat JKM iaitu Sekolah Menengah Jeneri melalui penganjuran Program Jelajah TVET, Teroka Dunia Kemahiran.
Lawatan sehari ke beberapa lokasi dalam kawasan PTSB memberi peluang kepada pelajar untuk menjelajah sekitar fasiliti JKM termasuk Bengkel Kimpalan, Bengkel Larik, Makmal 3D Printing dan Makmal MRTC. Pendedahan secara bersemuka ini membantu pelajar memahami asas bidang kemahiran teknikal seperti kimpalan, melarik, percetakan 3D dan robotik.
Program ini dirangka sebagai inisiatif mendekatkan masyarakat khususnya golongan pelajar peringkat sekolah dengan dunia TVET. Selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan TVET, ia turut mempromosikan program-program teknikal yang ditawarkan di PTSB serta memberi bimbingan awal kerjaya kepada pelajar sekolah.
Pada masa yang sama, penglibatan pelajar Politeknik sebagai fasilitator memberi ruang untuk mereka mempraktikkan ilmu teknikal melalui tunjuk ajar dan perkongsian pengalaman. Inisiatif ini menegaskan komitmen PTSB sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam pembangunan insan dan pemerkasaan modal insan negara.
Pelaporan:
Nurul Hana Mahdir
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Foto:
Ahmad Faidz Md. Isa
Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (PPDM)





