KULIM – Suasana sebak menyelubungi Majlis Persaraan Haji Zainol bin Osman yang diraikan semalam oleh warga Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Setelah menabur bakti sejak tahun 1991, perjalanan karier beliau akhirnya melabuhkan tirai dengan meninggalkan kenangan yang tidak ternilai.
Dalam ucapan yang sarat dengan rasa syukur, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang pernah bersama-sama mengharungi suka duka sepanjang 34 tahun perkhidmatannya. Beliau turut menitipkan nasihat agar warga PTSB terus berusaha membawa institusi ke tahap yang lebih cemerlang.
Bermula di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sebelum menyambung khidmat di PTSB, Haji Zainol dikenali sebagai seorang yang berjiwa besar, berintegriti dan sentiasa memberi bimbingan kepada rakan sekerja serta pelajar.
Majlis diakhiri dengan doa penuh harapan agar beliau dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan ketenangan dalam menempuh fasa baharu sebagai seorang pesara. Budi yang ditinggalkan akan terus hidup dalam ingatan warga PTSB.
 
Pelaporan:
Dr. Siti Rozakiyah Assurin Hassan
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
 
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat