KULIM – Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menganjurkan Program Pemantapan Holistik Warga JKM: Fizikal, Mental dan Profesionalisme sebagai usaha memperkasa pembangunan kendiri dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
Program ini dirangka khusus untuk menyokong aspirasi institusi dalam melahirkan warga seimbang daripada aspek fizikal, kecerdasan minda serta etika profesional, seiring dengan persekitaran kejuruteraan yang semakin mencabar dan kompetitif.
Dalam menghadapi tekanan akademik, perkembangan teknologi dan keperluan industri masa kini, keseimbangan jasmani, ketahanan mental serta nilai profesionalisme dilihat sebagai elemen penting. Justeru, pelaksanaan program ini menjadi platform menyeluruh untuk memantapkan daya tahan fizikal melalui aktiviti kecergasan, meningkatkan kecerdasan intelektual dan emosi menerusi sesi motivasi, serta menyemai budaya kerja profesional.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk futsal, bola jaring, bola tampar, bola sepak dan badminton dengan penyertaan menyeluruh daripada warga JKM.
Pelaksanaan program ini turut selari dengan matlamat PTSB dalam membudayakan gaya hidup sihat, semangat kerja berpasukan dan pembangunan sahsiah holistik. Melalui pendekatan yang inklusif, program ini diyakini dapat meningkatkan pencapaian akademik, mewujudkan suasana kerja harmoni serta melahirkan modal insan berkualiti tinggi.
Foto dan pelaporan:
Junaidah Ramli
Penyelaras Sukan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal





