LENSA LIPUTAN MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH KE-19
Sidang 4 | 29 September 2025 (Isnin)
Majlis Konvokesyen ke-19 Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah melabuhkan tirainya dengan meraikan 166 graduan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA) dalam sidang keempat yang berakhir sekitar jam 5.00 petang hari ini.
En. Azim Nurhakim Abdul Razak, Pengarah AWR Construction Builder Sdn. Bhd. telah menyempurnakan majlis yang penuh detik bermakna ini. Beliau mengucapkan tahniah kepada pada graduan lalu meluahkan bahawa AWR Construction Builder Sdn. Bhd. berbesar hati dapat menjalin kolaborasi strategik bersama JKA, PTSB. Beliau yakin bahawa para graduan mampu membawa semangat kerjasama, inovasi dan kecekalan, menegaskan tenaga muda adalah aset penting untuk membangunkan negara.
Pengarah PTSB, Puan Hajah Norlili Juwita binti Arshad turut menyampaikan ucapan penghargaan dan rasa bangga terhadap pencapaian graduan. Dengan nada penuh kasih sayang, beliau menjemput semua graduan yang kini secara rasmi bergelar alumni PTSB untuk kembali menyumbang pengetahuan dan pengalaman mereka, bagi menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain.
Suasana di Dewan Mu’adzam Shah meriah dengan senyuman dan sorakan kegembiraan daripada para graduan, ahli keluarga, pensyarah serta para hadirin. Momen penuh emosi semakin terserlah apabila sesi bergambar beramai-ramai berlangsung, dihiasi warna-warni jubah konvokesyen yang meninggalkan memori terindah buat semua yang hadir.
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat





