Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan TVET
Kulim, 26 September 2025 – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan kerjasama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Pejabat Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) pada 14 hingga 26 September 2025.
Program ini melibatkan seorang peserta daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), iaitu Sanjay Gunabalan, pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE). Beliau mengikuti latihan berfokuskan bidang Artificial Intelligence (AI).
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha PTSB memperkukuh agenda TVET sejajar dengan Pelan Strategik PTSB 2021-2025, yang menekankan penghasilan graduan berkualiti, berkemahiran global serta memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0. Sepanjang program, peserta didedahkan dengan latihan teori serta amali bengkel yang menekankan penguasaan praktikal dalam bidang berkaitan.
Pengarah PTSB, Puan Hajah Norlili Juwita binti Arshad, menzahirkan ucapan tahniah kepada peserta yang telah berjaya memperoleh pensijilan profesional Artificial Intelligence (AI). Beliau turut menegaskan bahawa program sebegini berupaya meningkatkan kebolehpasaran pelajar melalui pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat global.
PTSB yakin inisiatif ini akan melahirkan graduan holistik, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.
Foto dan pelaporan:
Ts. Amrah binti Mat Safri
Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)





