KULIM, 28 September 2025 – Dewan Muadzam Shah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) sekali lagi menjadi saksi kegembiraan apabila berlangsungnya Majlis Konvokesyen Program Diploma Profesional Telekomunikasi (PDT) yang penuh meriah dan bermakna.
Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ini turut menerima sokongan padu daripada Northern Corridor Economic Region (NCER) dengan jumlah tajaan sebanyak RM144,000. Sokongan ini mencerminkan komitmen berterusan NCER dalam memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi di wilayah utara.
Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Dato’ Sri Haji Nasir bin Tun Haji Sakaran, Pengerusi G2R Sdn. Bhd.; En. Ahmad Nazrulnazib bin Dato’ Sri Haji Nasir, Pengarah G2R Sdn. Bhd.; En. Muhammad Hezri bin Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif G2R Sdn. Bhd.; serta En. Amir Sharifuddin bin Nayodin, Pengurus Kanan NCER. Kehadiran tokoh-tokoh industri ini bukan sahaja memberikan penghormatan kepada para graduan, malah membuktikan sokongan padu terhadap usaha memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri.
Seramai 15 orang pelajar diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian selama 24 minggu, bermula pada 15 Disember 2024 hingga 24 Jun 2025. Sepanjang pengajian, para peserta telah mengikuti sepuluh modul yang digubal khas mengikut keperluan industri, selain diberi nilai tambah melalui penganugerahan Sijil Profesional Working at Height dan Sijil Kompetensi Fiber Optic (CA1C dan CA2C). Penganjuran konvokesyen ini bukan sekadar mengiktiraf pencapaian para graduan, bahkan menjadi simbol dedikasi, usaha gigih serta komitmen mereka sepanjang tempoh pengajian.
Secara keseluruhan, majlis ini berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu meraikan kecemerlangan pelajar di samping memperkukuh jalinan strategik pendidikan–industri dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing. PTSB juga menzahirkan komitmen untuk terus membuka ruang kolaborasi bersama lebih banyak rakan industri, khususnya bagi memperluas peluang upskilling dan reskilling seiring dengan aspirasi pembangunan tenaga kerja negara.
Tahniah diucapkan kepada semua graduan PDT atas kejayaan cemerlang ini. Semoga mereka terus melakar kecemerlangan dalam bidang telekomunikasi dan menjadi inspirasi kepada generasi TVET akan datang.
 
Pelaporan & Foto
Pn. Masburah Binti Mustaffa
Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)