Pulau Pinang, 5 Oktober 2025 – Program Earth Fest 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober 2025 di Hin Bus Depot dan COEX, Pulau Pinang telah disertai oleh Pasukan Sukarelawan YES, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Seramai 29 pelajar dan empat orang pensyarah PTSB telah mengambil bahagian sebagai sukarelawan dalam program tersebut.
Earth Fest 2025 merupakan satu inisiatif komuniti yang menekankan kesedaran serta tindakan terhadap kelestarian alam sekitar, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda hijau negara. Program ini turut menarik penyertaan pelajar, orang awam, pelancong tempatan serta antarabangsa, menjadikannya satu platform interaktif yang mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memupuk budaya lestari.
Melalui penglibatan dalam Earth Fest 2025, para pelajar berpeluang menghubungkan ilmu teori dengan amalan sebenar dalam konteks kemampanan dan tanggungjawab sosial. Mereka bukan sahaja memperoleh pengalaman praktikal, malah dapat mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Antara bidang tugas sukarelawan termasuklah mengurus pendaftaran, mengawal tatatertib, membantu di kaunter kitar semula serta menjadi fasilitator bengkel.
Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh imej PTSB sebagai institusi TVET yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar, malah membantu pencapaian indikator prestasi utama berkaitan jaringan komuniti, aktiviti kokurikulum berimpak tinggi serta pembangunan pelajar seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Selain meningkatkan kesedaran ekologi dan etika sivik, penyertaan ini turut menyokong aspirasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam melahirkan graduan holistik melalui pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Aktiviti sukarelawan seperti ini juga memperkukuh elemen TVET berteraskan nilai, yang menyeimbangkan kemahiran teknikal dengan nilai kemanusiaan.
Menariknya, Earth Fest turut menyediakan platform jualan kepada usahawan tempatan melalui segmen Grow Market, yang berteraskan slogan: “At Grow Market, sustainability isn't just about buying, it’s about growing awareness, growing community, and growing action.” Melalui pendedahan ini, pelajar PTSB turut berpeluang mempelajari konsep keusahawanan sosial dan model perniagaan mampan, sekali gus memperluas perspektif mereka terhadap potensi TVET dalam bidang kemampanan dan inovasi komuniti.
Secara keseluruhannya, pengalaman menyertai Earth Fest 2025 bukan sahaja memberi makna mendalam tentang tanggungjawab terhadap bumi, tetapi turut memupuk semangat sukarelawan dan keseronokan belajar di luar bilik kuliah – benar seperti kata mereka, penat tetapi seronok!
Foto & Pelaporan
Dr. Janet Ho Siew Ching
Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK)





