8 Oktober 2025 | Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Mini Festival of Ideas (FOI) @ PTSB 2025 di Dewan Muadzam Shah, PTSB. Program ini merupakan inisiatif dalam memperkasa budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga politeknik, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Festival of Ideas Putrajaya (FOI) di peringkat kebangsaan.
Program ini berfungsi sebagai platform merakyatkan pendidikan tinggi dengan menjadikan bidang inovasi dan penyelidikan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah menengah. Ia turut memperkenalkan PTSB sebagai institusi TVET yang dinamik serta berfokus kepada pembangunan kemahiran dan pembentukan graduan yang berdaya saing serta berinovasi.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk JKM Robotics Tournament Day, Pameran Inovasi Pelajar, IdeaVault Challenge melibatkan pelajar sekolah menengah dan PTSB, serta pameran dan jualan idea generik. Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan hasil ciptaan dan idea inovatif mereka kepada pihak industri dan masyarakat.
Majlis penutup diserikan dengan kehadiran wakil industri, antaranya Dr. Boey daripada Solid Precision Sdn. Bhd., yang menunjukkan sokongan terhadap jalinan akademik dan industri. Kerjasama seperti ini penting dalam memastikan kurikulum politeknik kekal relevan dengan keperluan industri serta membuka peluang kolaborasi, penajaan, dan pengkomersialan hasil inovasi pelajar.
Secara keseluruhannya, Mini FOI @ PTSB 2025 berjaya memberikan impak positif kepada pelbagai pihak. Pelajar bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritis, dan kerja berpasukan, tetapi juga memperoleh pendedahan langsung kepada dunia inovasi sebenar. PTSB pula terus memperkukuh reputasinya sebagai pusat inovasi aktif dan memperluas jaringan strategik bersama rakan industri.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen PTSB dalam membina ekosistem inovasi yang mampan, seiring dengan hasrat KPT untuk menjadikan inovasi sebagai tunjang kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.
Pelaporan:
Pn. Norshahidah binti Manaf
COT, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM)
Foto:
Pn. Aniqah Hanis binti Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat (UKK)





