Genting Highlands, 14 September 2025 – Persatuan Mental Arithmetic Malaysia (PMAM) 2015 dengan kerjasama Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah berjaya menganjurkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) – Kejohanan Abakus & Mental Aritmetik Terbuka Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang bertempat di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands.
Kejohanan berprestij ini menghimpunkan seramai 420 peserta dari pelbagai peringkat institusi pendidikan termasuk murid tadika, sekolah rendah, sekolah menengah serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Program ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, menjadikan penganjurannya lebih bermakna dan berimpak tinggi.
 
Kejohanan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Puan Hajah Norlili Juwita binti Arshad, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak atas kejayaan penganjuran program berprestij ini. Beliau menekankan bahawa kejohanan seperti ini yang menyeronokkan dan berimpak positif mampu memperkukuh potensi pelajar dalam aspek kognitif, membina daya fokus pelajar serta kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal. Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, turut hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkasa pembelajaran sepanjang hayat melalui aktiviti berasaskan kognitif dan kemahiran aritmetik.
Abakus dan mental aritmetik merupakan kaedah pengiraan yang berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia bukan sahaja membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran pengiraan, malah turut memperkukuh pembangunan minda, fokus, dan daya pemikiran logik. Kaedah ini sesuai dipelajari oleh pelajar dari semua peringkat umur sebagai usaha memperkasa kecerdasan kognitif melalui pendekatan yang menyeronokkan dan interaktif.
 
Penganjuran kejohanan ini selari dengan aspirasi Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dalam menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) serta memperkukuh kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan organisasi nasional dalam memperkasa potensi generasi muda Malaysia.
Kejohanan ini melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang penuh meriah dan semangat! Terima kasih dan tahniah kepada semua peserta dari seluruh negara yang menjayakan Kejohanan Abakus & Mental Aritmetik Terbuka Peringkat Kebangsaan 2025.
 
Foto & Pelaporan:
TAN CHIN CHAI
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM)