Kulim, Kedah | 23 September 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus membuktikan keunggulan dalam bidang inovasi apabila pasukan daripada Jabatan Perdagangan (JP) meraih pelbagai kejayaan cemerlang di International Innovative & Creative Ideas Poster Competition (IICIPC 2025).
 
Acara berprestij ini menghimpunkan lebih daripada 107 poster projek inovasi daripada pelbagai institusi pendidikan, agensi kerajaan, industri, serta penyertaan antarabangsa dari Thailand dan Indonesia, selain penyertaan tempatan dari Malaysia. PTSB telah menghantar enam (6) poster projek inovasi untuk menyertai pertandingan pada tahun ini.
Lebih manis lagi, projek bertajuk “Servify” telah dinobatkan sebagai Juara Kategori Institusi Pengajian Tinggi dan turut menerima Anugerah Berlian. Projek “Servify” dihasilkan oleh pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan (DPM) 5, iaitu Mohamad Darwisy Hafiy bin Shamsul Fazli, Nur Aufa Nisa binti Mohd Anuar Affindi, Puteri Batrish Batrishsya binti Jafri, dan Suhas Varma a/l Daiva Selha Mani, di bawah seliaan Puan Farizoh binti Hamid.
Selain itu, tiga lagi kumpulan dari PTSB turut meraih pingat emas menerusi projek “PawPurify”, “Furresh”, dan “Aurelia Skin Scrub”, manakala projek “B-BOMB” berjaya merangkul pingat perak dan “CocoBriq” pula menerima pingat gangsa.
Kejayaan ini membuktikan kemampuan pelajar PTSB melangkah ke peringkat antarabangsa dan terus mengharumkan nama politeknik dalam bidang TVET, inovasi dan kreativiti. Penganjuran IICIPC 2025 menjadi platform penting dalam memupuk semangat kreativiti dan inovasi, mengiktiraf pencapaian penyelidik muda serta memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu utama pembangunan teknologi dan inovasi negara.
 
Menurut penyelia projek, Puan Farizoh binti Hamid, kesemua inovasi yang dihasilkan menumpukan kepada penyelesaian praktikal dan kreatif dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kesihatan, alam sekitar, dan gaya hidup, dengan menekankan aspek kelestarian dan kemudahan pengguna.
Melalui penyertaan di IICIPC 2025, pasukan PTSB bukan sahaja berjaya menonjolkan hasil ciptaan inovatif mereka, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan industri di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini sekaligus membuktikan kemampuan warga PTSB untuk melahirkan penyelidik dan inovator muda yang berdaya saing di pentas global.
Pencapaian pasukan JP di IICIPC 2025 diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga politeknik untuk terus berkarya, mencipta inovasi baharu, dan bersama-sama mengangkat bidang TVET sebagai teras pembangunan negara.
Tahniah kepada para pelajar & penyelia pasukan inovasi!
 
Foto & Pelaporan:
FAIZAN MAISARAH BINTI ABU BAKAR
Jabatan Perdagangan (JP)
 
Pereka Grafik:
AHMAD FAIDZ MD. ISA
Pusat Pembelajaran Digital & Multimedia (PPDM)