Kulim, Kedah | 11 Oktober 2025 – Pasukan bola jaring Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menyerlah dalam Kejohanan Bola Jaring Tertutup Sempena Hari Sukan Negara Daerah Kulim 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim. Kejohanan yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kulim, Kedah ini bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Kejohanan ini telah disertai oleh 15 pasukan dari pelbagai agensi dan institusi sekitar daerah Kulim. Pada edisi tahun ini, PTSB telah menghantar dua pasukan bola jaring, iaitu D’TERRAFIC A dan D’TERRAFIC B, yang melibatkan penyertaan 20 orang pelajar bersama 2 orang pegawai pengiring.
Dalam pertandingan sengit tersebut, pasukan D’TERRAFIC B berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan, manakala pasukan D’TERRAFIC A turut menunjukkan aksi cemerlang dengan mara hingga ke peringkat suku akhir.
Kejayaan ini membuktikan komitmen pelajar PTSB bukan sahaja dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam aktiviti kokurikulum dan sukan. Semoga kejayaan pasukan bola jaring PTSB ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga politeknik untuk terus aktif dalam kegiatan sukan dan kokurikulum, selaras dengan aspirasi Hari Sukan Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
Foto & Pelaporan:
NINA AZLINA BINTI ZAKARIA
Jabatan Sukan, Kokurikulum Dan Kebudayaan (JSKK)





