Kepala Batas, 23 Oktober 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus memperkasa agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui penganjuran program inovatif bertajuk “From Roasted to Bot Team Challenge” yang berlangsung di Kolej Komuniti Kepala Batas dengan kerjasama Micron Technology Incorporation, Batu Kawan.
Program sehari ini menghimpunkan seramai 17 peserta daripada warga industri Micron dengan objektif memperkukuh kemahiran insaniah dan teknikal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Menariknya, aktiviti program ini menggabungkan dua elemen unik, MasterChef Challenge pada waktu pagi dan Robot Sumo Arena pada sesi petang. Gabungan ini mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, kompetitif dan interaktif. Para peserta diuji dalam pengurusan masa, kerja berpasukan serta kreativiti menerapkan teknologi robotik secara santai.
Menurut Penyelaras PSH, Puan Azira binti Adnan, program ini selaras dengan hasrat PTSB untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing, inovatif dan berfikiran kritikal seiring tuntutan Revolusi Industri 4.0.
Program yang turut melibatkan pensyarah serta wakil Micron Technology Incorporation ini menjadi platform strategik dalam mengukuhkan hubungan TVET–industri dan memperkasakan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Foto & Pelaporan:
ZUNAINAH BINTI HAMID
Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)





