KULIM, 28 OKTOBER 2025 – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Electrical Engineering Department Innovation & Competition (EED-IC) Sesi 1 2025/2026, iaitu pertandingan inovasi bagi pelajar semester akhir yang berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Oktober 2025. Program ini berperanan menilai pencapaian projek akhir pelajar di samping memupuk budaya penyelidikan dan inovasi sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
 
Sebanyak 214 projek telah dipertandingkan, merangkumi pelbagai aplikasi teknologi dalam bidang kejuruteraan elektrik. Penilaian dilaksanakan secara menyeluruh melalui sesi pembentangan projek, demonstrasi produk serta sesi soal jawab teknikal. Panel penilai terdiri daripada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan wakil Panel Penasihat Industri (IAP) yang menilai berdasarkan elemen keaslian, kemampanan, potensi industri dan keberkesanan penyelesaian teknologi yang diketengahkan.
Keputusan pertandingan menyaksikan Ooi Wen Wen diumumkan sebagai juara tempat pertama dengan projek “IoT-Based Public Restroom Management System.” Tempat kedua dimenangi oleh Noren Mary A/P Sinnapan menerusi projek “Smart City Feedback Apps,” manakala Muhammad Nabil Bin Mohd Nizar meraih tempat ketiga dengan projek “Solat Food Container Heating System.”
 
Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Pn. Ida Safinar Binti Aziz, menegaskan bahawa program ini menjadi medium penting dalam merangsang kreativiti pelajar serta membina kemahiran berfikir aras tinggi, sekali gus menyokong pembangunan inovasi berimpak tinggi untuk industri. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada panel IAP yang telah menyumbang kepakaran dalam proses penilaian.
Sementara itu, Penyelaras Program, Pn. Pimpa A/P Soowan, mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan menegaskan bahawa EED-IC bukan sekadar platform penilaian, malah medan latihan yang mengasah keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan profesionalisme pelajar.
Secara keseluruhannya, penganjuran EED-IC 2025/2026 membuktikan komitmen PTSB dalam melahirkan graduan TVET yang inovatif, kompeten serta responsif terhadap keperluan industri semasa.
 
Foto & Pelaporan:
ZUNAINAH BINTI HAMID
Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)