Satu inisiatif kerjasama komuniti telah berjaya dilaksanakan menerusi penglibatan sukarelawan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bersama Hospital Kulim dalam usaha meningkatkan kemudahan mobiliti pesakit hospital. Melalui kerjasama ini, pihak Hospital Kulim telah menyerahkan sebanyak 14 unit kerusi roda yang diterima hasil sumbangan iCare Kulim serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain kepada pasukan sukarelawan PTSB untuk tujuan pengubahsuaian. Pengubahsuaian tersebut dilaksanakan bagi memastikan kerusi roda berkenaan lebih selesa, selamat dan menepati keperluan penggunaan pesakit hospital. Pasukan sukarelawan PTSB telah menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian berdasarkan spesifikasi dan keperluan yang telah dikenal pasti oleh pihak hospital, termasuk aspek keselamatan, kefungsian serta kesesuaian penggunaan dalam persekitaran hospital.
Majlis penyerahan rasmi 14 unit kerusi roda yang telah siap diubah suai telah diadakan dalam satu majlis khas pada 31 Disember 2025. Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Hajjah Norlili Juwita Binti Arshad, Pengarah PTSB, kepada Dr. Azrulnizam bin Md Daud, Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Kulim sebagai simbol kejayaan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan sektor kesihatan. Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan komitmen PTSB dalam menyokong agenda tanggungjawab sosial institusi, malah turut memberi impak positif secara langsung kepada kesejahteraan pesakit hospital. Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memupuk budaya kesukarelawanan serta memperkukuh jaringan kerjasama bersama komuniti setempat.
Foto dan Pelaporan: MOHD ZAMRI BIN HAMID Pegawai Sukarelawan PTSB






