06 Januari 2025 | Majlis Transformasi Siswa (MTS) Pelajar Baharu Sesi II 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Muadzam Shah, melibatkan seramai 173 orang pelajar baharu Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Majlis ini bertujuan memberi pendedahan awal serta membentuk jati diri mahasiswa sebagai warga politeknik yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita binti Arshad, dalam ucapannya menegaskan bahawa akhlak dan adab merupakan asas kepada keberkatan dalam menuntut ilmu. Beliau berpesan bahawa pelajar tidak perlu berasa bimbang dalam menghadapi fasa baharu kehidupan sekiranya hubungan sesama manusia sentiasa dipelihara kerana adab dan akhlak yang terjaga akan menjadikan seseorang itu dihormati di mana sahaja berada.

Seiring dengan cabaran dunia semasa, pelajar digalakkan untuk menjadi individu yang tangkas dan tuntas di samping kreatif serta mahir beradaptasi dengan persekitaran terkini. Pelajar juga diseru agar membina identiti dan keupayaan sendiri berdasarkan acuan yang dibentuk secara beretika, profesional dan berdaya cipta tanpa perlu meniru pihak lain.

MTS ini diharap menjadi titik permulaan yang kukuh dalam melahirkan graduan PTSB yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kemahiran selaras dengan aspirasi pendidikan TVET negara.

Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat

#POLYCC
#TVETForAll