KULIM, 4 Februari 2026 | Satu kunjungan hormat oleh PERKESO Kedah telah diadakan pada hari ini bagi membincangkan usaha berterusan membantu pelajar mendapatkan pekerjaan serta memastikan industri memperoleh tenaga kerja berkemahiran.
Pihak PERKESO diketuai Encik Ahmad Rizwan Hassan bin Basroh, Pengurus PERKESO Kulim bersama beberapa pegawai termasuk Encik Linggeshwaran a/l Panirselvam, Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan Negeri Kedah disambut mesra oleh Pengarah PTSB, Hajah Norlili Juwita binti Arshad.

Pertemuan tersebut tertumpu kepada perbincangan aktiviti yang telah dijalankan sejak tahun 2023 hingga kini. Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk program penempatan pekerjaan untuk graduan, bengkel kerjaya, sesi kaunseling pekerjaan serta kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat tempatan bagi membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Menurut pihak PERKESO, usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dengan menyediakan pendedahan awal terhadap keperluan industri malah turut membantu syarikat mendapatkan tenaga kerja yang sesuai dan berkualiti.
Hajah Norlili turut menzahirkan harapan agar kerjasama strategik ini diperkukuhkan lagi dengan memperhebatkan aktiviti bersama Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara dalam program akan datang sekali gus memperluas jaringan kerjasama pendidikan dan industri.

Kunjungan hormat ini sekali lagi membuktikan komitmen PERKESO dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri demi melahirkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja semasa.

Pelaporan:
Nurhaida Abdullah Hadi (CISEC)
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan (UKK)

#Politeknik.kolejkomuniti
#MakingPTSBGreat
#PTSBProud
#POLYCC
#TVETForAll
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja