Pasukan PTSB E-Sports daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dinobatkan sebagai juara Kejohanan U Mobile - Mobile Legends Bang-Bang Campus Championship (MLCC) 2020 Musim ke-2 peringkat Negeri Kedah. Dalam kejohanan ini dijalankan secara dalam talian pada 9 November 2020 yang lepas.

Pasukan PTSB E-Sports dianggotai oleh pelajar-pelajar PTSB iaitu Muhammad Amir Aizat, Luqman Hazeeq, Muhammad Aiman Zahin, Faeez Danieal dan Azril Shafiqzal. Mereka telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,350 bersama 600 diamonds. Pelajar-pelajar ini seterusnya akan mewakili Negeri Kedah di Kejohanan Akhir Peringkat Kebangsaan. Bermula pada peringkat kelayakan yang melibatkan 16 pasukan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Negeri Kedah, lima pelajar berusia antara 18 hingga 22 tahun itu mengorak langkah mempamerkan aksi terbaik dalam saingan akhir.

Muhammad Amir Aizat selaku ketua pasukan tersebut melahirkan kesyukuran atas kemenangan yang tidak dijangka itu. Rakan sepasukannya, Luqman Hazeeq pula menyifatkan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) sebagai permainan yang memerlukan fokus dan komunikasi antara anggota pasukan yang tinggi. “Sebelum ini kami pernah masuk pertandingan, tetapi dalam pasukan ahli yang berlainan dan masing-masing sudah lebih kurang 3 tahun bermain MLBB. Tetapi, permainan ini tidak seperti permainan video lain kerana lebih bergantung kepada prestasi pasukan semasa pertandingan berbanding konsistensi dalam latihan,” katanya.

Pelajar-pelajar ini turut menyatakan keinginan untuk ke peringkat lebih tinggi dalam sukan berkenaan. “Insya-Allah sekiranya ada peluang dipanggil mewakili Negeri Kedah, kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” kata Muhammad Aiman Zahin.
Amirul Zaharin Bin Yusoff, Pensyarah PTSB selaku Pengurus pasukan pula menyatakan pelajar-pelajar yang bermain permainan ini perlu bijak dalam membahagikan masa untuk belajar dan bermain permainan ini. Jadual latihan juga telah disediakan kepada pasukan ini supaya dapat mengekalkan momentum prestasi pasukan supaya dapat bersaing dengan lebih baik dalam kejohanan yang mereka sertai.

Pasukan SIFU dari Universiti Utara Malaysia pula dinobatkan sebagai Naib Johan dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM650 bersama 420 diamonds. Kejohanan anjuran Syarikat Telekomunikasi U Mobile bersama Kementerian Belia dan Sukan ini berlangsung mengikut tarikh yang telah ditetapkan dengan melibatkan semua IPT di seluruh negeri sebelum memasuki Kejohanan Akhir Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung sekitar bulan Disember ini.