Pelajar dari Kelab Biodiversiti Marin, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menzahirkan tanggungjawab bersama dalam pemeliharaan ekosistem marin melalui Program Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Songsong, Yan Kedah.
Pembenihan terumbu karang melalui tukun tiruan dapat membantu memulihara khazanah biodiversiti dasar laut. Selepas satu tempoh terumbu karang akan hidup pada tukun dan seterusya menjadi habitat kepada hidupan air seperti ikan kecil, udang dan ketam berlindung daripada pemangsa. Dengan ini kepadatan sumber perikanan setempat juga dapat ditambahbaik.
Para pelajar telah menghasilkan 7 buah tukun tiruan yang mesra alam di mana 6 tukun dihasilkan menerusi campuran simen, batu baur dan pasir serta 1 tukun daripada binaan paip PVC. Kesemua tukun ini dibina di darat sebelum diletakkan ke dalam laut.
Anas bin Azman, pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam yang merupakan Pengerusi Kelab Biodiversiti Marin PTSB berkata, program ini dapat memupuk kesedaran untuk melindungi dan memelihara pelbagai habitat marin terutamanya terumbu karang yang merupakan khazanah bernilai negara untuk warisan generasi akan datang.
"Komuniti terumbu karang yang cantik dan unik serta keindahan hidupan dasar laut juga mampu menarik minat pencinta alam dan penggiat sukan air untuk melancong ke negara kita."
Menurutnya lagi "Bagi menilai keberkesanan program ini, para pelajar juga diberi tugasan berbentuk projek penghasilan video dokumentari berkenaan penanaman tukun tiruan serta aktiviti penyelaman skuba yang telah dipelajari."