Kulim, 24 Julai 2023 - Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dan Miracle Medallion Center Enterprise (MMC) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) Public-Private Research Network (PPRN) 2.0 bagi membangunkan projek Sistem Pemakanan Automatik Pintar Berpusat Untuk Industri Akuakultur Ikan Keli.
Projek yang diterajui oleh Encik Izhar bin Ahmad dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, PTSB ini merupakan penerima tunggal dari Politeknik bagi dana PPRN 2.0 dibawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi. Projek inovasi ini memberi nilai tambah dengan menggabungkan teknologi terkini kepada industri perikanan dengan penghasilan mesin pengagihan suapan pelet secara berpusat mengunakan teknologi IR 4.0. Sistem yang dibangunkan ini juga dilengkapi dengan kaedah Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi penyimpanan aliran data.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahri bin Ismail berkata Inisiatif ini mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia melalui pemerkasaan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam membangunkan produk inovasi berpacukan permintaan dari perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Sementara itu, menurut Pengurus MMC, Mohd Roshaidi bin Yusof melalui MoA ini produktiviti syarikat dapat ditingkatkan dengan bantuan kepakaran daripada penyelidik politeknik secara berkesan dengan kos efektif serta lebih menjimatkan masa dan tenaga kerja. MMC menjalankan perniagaan berkaitan akuakultur dengan aktiviti utamanya iaitu penternakan dan penghasilan pelbagai produk berasaskan ikan keli.
Upacara pemetraian MoA ini turut disaksikan oleh Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Riam a/p Chau Mai, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK serta Mohd Ruzi
bin Hamzah, Pengarah PTSB.
#ThankYouForMakingPTSBGreat
#POLYCCPemacuMalaysiaMADANI
#ThrivingThroughChange
#TVETPilihanUtamaKerjaya