YAN, 10 NOVEMBER 2023 - Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menzahirkan tanggungjawab bersama dalam pemeliharaan ekosistem marin melalui program melabuhkan tukun tiruan di pulau ini. Para pelajar serta pensyarah telah menghasilkan 20 buah tukun tiruan daripada bahan konkrit dan tetulang.

Menurut Naziah Mohd Isa selaku ketua penyelidik, projek Artificial Reef Civil Engineering Department (ARCED) mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pihak National Water Research Institute of Malaysia (NAHRIM) dan Persatuan Nelayan Kuala Sungai Udang. Projek membangunkan tukun tiruan ARCED bermula pada Mei 2022 lagi. Selepas sesi pembentangan bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang telah dijalankan sekitar Julai 2023 yang lalu, maka projek ARCED versi 2 telah dihasilkan.

“Hasil ujian ketahanan tukun yang dijalankan di NAHRIM menunjukkan bahawa ARCED dapat menahan arus halaju purata sehingga 0.77 m/s, jauh lebih tinggi berbanding halaju arus di Pulau Songsong iaitu sekitar 0.21 m/s. sahaja.” katanya.
“Rekabentuknya yang kecil seberat 30kg menjadikan tukun ini mudah diuruskan dan dilabuhkan, Walaubagaimanapun ia tetap kukuh untuk berada di dasar laut kerana terdapat tetulang di bahagian dalam menjadikannya cukup kuat melawan ombak.”
Muhammad Irfan Syafiq, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam yang juga merupakan pelajar yang terlibat bagi menghasilkan tukun tiruan ARCED Versi 2 berkata, kewujudan ARCED di dalam perairan laut cetek akan membantu menggalakkan pembenihan terumbu karang serta memelihara khazanah biodiversiti dasar laut.

“Dalam tempoh 6 bulan sehingga setahun terumbu karang akan mula hidup pada tukun dan seterusya menjadi habitat kepada hidupan air seperti ikan kecil, udang dan ketam. Dengan ini kepadatan sumber perikanan setempat juga dapat ditambahbaik,” ujarnya lagi.

Peletakan tukun ini dijayakan seramai 20 orang pelajar PTSB serta pensyarah penyelidik yang terlibat. Turut sama hadir adalah Sukri bin Deris, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Dr. Riam Chau Mai, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK dan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah PTSB.

#thankyouformakingptsbgreat
#TVETPilihanUtamaKerjaya
#POLYCCPemacuNegaraMADANI
#jommasukptsb
#FreePalestine