Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) sentiasa mendukung penglibatan dan kerjasama strategik bersama pihak industri melalui perkongsian kepakaran dan pengetahuan ke arah penambahbaikan Pendidikan TVET yang lebih baik.
Selaras dengan itu, PTSB amat berbesar hati diberi peluang oleh pihak G2R Sdn. Bhd. untuk mengadakan lawatan akademik dan pemantapan kolaborasi di premis syarikat tersebut yang menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam bidang rangkaian telekomunikasi (telecommunication network) antara yang terkemuka di Malaysia. Syarikat ini juga telah memeterai perjanjian kolaborasi secara rasmi bersama PTSB sekitar Julai 2023 yang lalu.
Delegasi PTSB yang diketuai oleh Hj. Mohd Ruzi Hamzah, Pengarah PTSB disambut baik oleh En. Muhammad Hezri Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif, Pn. Syuhaidah Muhammad, Ketua Eksekutif Kewangan serta kakitangan G2R Sdn. Bhd.
Pertemuan ini merupakan rentetan daripada Program Sangkutan Industri Pensyarah (LSI) yang telah dihadiri oleh tiga orang pensyarah PTSB dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE). Dalam pertemuan ini pihak G2R Sdn. Bhd. telah membuat perkongsian berkaitan kepakaran perkhidmatan yang ditawarkan serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh syarikat ini.
Lawatan dan perbincangan ini telah memberikan hasil yang sangat positif bagi kedua-dua belah pihak di mana masing-masing telah bersetuju untuk membuka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, perkongsian kepakaran, pembangunan pelajar serta program-program khidmat masyarakat yang dapat dijalankan secara bersama. Turut dibincangkan adalah peluang kepada G2R Sdn. Bhd. untuk menyertai program pengajian khas eksekutif untuk pembangunan modal insan kakitangan mereka.
Pihak PTSB amat komited untuk terus mengorak langkah dan memanfaatkan kerjasama politeknik-industri ini dan semoga usaha ini dapat menyumbang impak kepada masyarakat dan negara.
#MakingPTSBGreat
#tvetpilihanutamakerjaya
#polyccpemacumalaysiamadani
#jommasukptsb