Program Special Training for Young Leaders (STYLE) Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Politeknik Malaysia Tahun 2019 telah pun melabuhkan tirainya pada 15 September 2019 yang lalu. Program yang berlangsung di Kompleks Falak Al-Khawarizmi Melaka itu merupakan program peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta dikelolakan oleh Politeknik Melaka. Program ini telah berlangsung selama empat hari tiga malam iaitu bermula 12 hingga 15 September 2019. Sebanyak 100 orang peserta dan AJK pelajar daripada 36 buah politeknik Malaysia telah terlibat dan mengikuti program yang berimpak tinggi ini.

Tema program kali ini ialah ‘Faith in Humanity’ yang mana lebih menerapkan unsur kemanusiaan, empati serta nilai murni dalam diri pelajar yang berteraskan kasih sayang. Unsur ini bukan sahaja merangkumi kasih sayang antara keluarga tetapi juga merangkumi nilai persahabatan dan kemasyarakatan. Pelajar-pelajar akan diberikan beberapa tugasan yang mana mereka dikehendaki berhadapan dengan situasi sebenar melalui aktiviti eksperimen sosial. Beberapa tugas lakonan dilakukan pelajar secara berkumpulan di sekitar Bandaraya Melaka bagi melihat reaksi masyarakat terhadap tugasan tersebut. Ianya menggambarkan situasi sebenar masyarakat kita terhadap keprihatinan mereka terhadap beberapa situasi yang melanggar norma masyarakat kita. Aktiviti lain ialah pelajar didedahkan dengan aktiviti bersama gelandangan sekitar Bandaraya Melaka serta kesedaran tentang isu gelandangan terhadap masyarakat sekitar.

Mencatat rekod manis di akhir program ini, seorang pelajar PTSB iaitu Mohd Arif Haikal bin Zaidi telah dinobatkan sebagai Ikon Kepimpinan Program STYLE PRS Politeknik Malaysia Tahun 2019 dengan mengenepikan calon-calon daripada politeknik lain. Arif Haikal merupakan juruacara bagi majlis penutup program tersebut yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Wan Mohd Nasir bin Wan Abdul Rahman, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK setelah menjalani sesi tapisan dan pemilihan yang dilaksanakan oleh urusetia.