Seramai lebih 3, 000 ribu pengunjung hadir memeriahkan Karnival Pengajian Tinggi Kulim (KPTK) 2024 Fasa 2 yang telah berlangsung dengan jayanya di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah.
Karnival ini merupakan inisiatif Pertubuhan Kebajikan Anak Kedah (Kaseh) untuk memberi pendedahan kepada pengunjung khususnya pelajar serta menggalakkan mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengunjung kebanyakan terdiri daripada calon-calon lepasan SPM dan STPM/setaraf, berpeluang memohon dan mengemaskini permohonan UPU Online secara langsung dengan bimbingan pegawai-pegawai yang bertugas sepanjang program.
Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Haji Mohd Ruzi bin Hamzah berkata, “PTSB sentiasa komited terhadap penganjuran program bermanfaat seperti ini. Saya mewakili pengurusan tertinggi dan warga PTSB sangat berbesar hati dipelawa turut serta sebagai tuan rumah KPTK 2024”.
Pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung sepanjang program ini, termasuk reruai dan pameran institusi, sesi konsultasi UPU Online, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, serta taklimat kerjaya. Pengisian aktiviti bertujuan untuk memberikan maklumat dan bantuan yang komprehensif kepada pelajar dalam merancang masa depan pendidikan mereka.
Karnival ini bukan sahaja berjaya menarik minat ramai pengunjung, malah turut memberikan impak positif dalam membentuk kesedaran dan pengetahuan mengenai peluang pendidikan tinggi yang ada di negara ini.