PTSB Robotics Hub: Meneraju Transformasi TVET dengan Kerjasama Industri
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dengan jayanya telah menganjurkan program “PTSB Robotics Hub Industry Engagement: Shaping TVET Talent Through Collaborative Industry-Academia Partnership” pada 23 Julai 2024 yang lalu sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh sinergi antara industri dan akademia. Dengan penglibatan 10 syarikat dan 2 agensi, termasuk AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Keysight Technologies, inisiatif ini bertujuan untuk mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan yang dinamik.
Sesi dialog “Coffee Table Talk” telah menjadi medan mempertemukan pakar industri dan akademia untuk membincangkan hala tuju dan cabaran masa depan TVET.
Lebih membanggakan apabila dua daripada panel dalam sesi dialog iaitu En. Ng Kean Ming, Penolong Pengurus (Robot Application Division) dari Fanuc Mechatronics (M) Sdn Bhd. dan En. Azim Nurhakim Abdul Razak, Pengarah AWR Constructions Sdn. Bhd. merupakan alumni PTSB. Pengarah PTSB, Mohd Ruzi bin Hamzah berkata, “Kolaborasi ini membuka peluang baru untuk pelajar kami, menyediakan mereka dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri moden”.