KULIM HI-TECH - Majlis Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) Bilangan 1/2024 telah berlangsung di Bilik Persidangan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), semalam.
Majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan kolaborasi antara pihak industri dan institusi dalam mendukung aspirasi TVET ke arah pencapaian agenda POLYCC 2023-2030 sekali gus memberikan manfaat langsung kepada pelajar dan graduan dengan mewujudkan lebih banyak peluang latihan industri serta bimbingan kerjaya.
Atur cara dimulakan dengan pembentangan mengenai Pengenalan Politeknik dan Hala Tuju POLYCC 2023-2030 diikuti oleh Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) 2024-2026 kepada ahli yang dilantik.
Seterusnya, majlis menyaksikan pelantikan Pengerusi JPI iaitu Ts Dr Boey Kok Hoong, Pengarah Urusan Solid Precision Engineering Sdn. Bhd. dan Timbalan Pengerusi JPI, Encik Kamaruzzaman bin Kamaludeen, Ketua Pegawai Kewangan Synergy Distribution Sdn. Bhd.
Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri Bilangan 1/2024 yang membincangkan hala tuju strategik dan kerjasama antara PTSB dan pihak industri. Selain itu, agenda turut melibatkan perancangan aktiviti JPI bagi tahun 2025 untuk memastikan kesinambungan kerjasama yang efektif.
PTSB komited untuk terus memperkukuhkan jaringan dengan industri dalam usaha melahirkan graduan yang kompeten dan memenuhi keperluan semasa pasaran kerja termasuk menawarkan peluang pekerjaan dan program latihan industri yang relevan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

#TVETForAll
#MakingPTSBGreat
#PTSBProud