KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menjadi tuan rumah Program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda, inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Yayasan Kepimpinan Inspirasi Malaysia, baru-baru ini. Program ini menarik penyertaan 300 pelajar dari PTSB dan 39 pelajar dari Politeknik Metro Tasek Gelugor menjadikannya platform penting untuk meningkatkan kesedaran demokrasi dalam kalangan belia.
Kempen ini bertujuan mendidik generasi muda mengenai konsep demokrasi, nilai undi dan peranan mereka sebagai agen perubahan dalam sistem politik. Selaras dengan keputusan Kerajaan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, program ini memberi penekanan kepada pendidikan berterusan bagi membentuk belia yang aktif dan bertanggungjawab.
Melalui pengisian seperti pemahaman konsep demokrasi dan nilai undi dalam pilihan raya, usaha ini membantu membentuk belia yang mampu menyumbang kepada masyarakat melalui penglibatan dalam pelbagai peringkat kepimpinan termasuk Persatuan Penduduk, Ahli Majlis, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Kerajaan berharap program ini dapat memupuk nilai patriotisme, perpaduan, kerjasama dan toleransi sekali gus menyokong aspirasi nasional ke arah masyarakat progresif dan demokratik.
Program Rakan Demokrasi ini merupakan salah satu langkah strategik untuk membina generasi muda yang lebih berdaya saing dan peka terhadap tanggungjawab mereka sebagai rakyat.
Foto & Pelaporan:

Puan Nina Azlina Zakaria
Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK)

#MakingPTSBGreat
#PTSBProud