ALOR SETAR, 12 Februari 2025 – Unit Pengurusan Teknologi Hijau (UPTH), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) yang diketuai oleh Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah bersama tujuh wakil jawatankuasa UPTH telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah bagi memperkukuh kerjasama dalam mempertingkatkan amalan kampus lestari di PTSB. Kunjungan ini disambut mesra oleh Timbalan Pengarah JAS Kedah, Encik Mohd Fitri bin Mohd Mokhtar.
Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkasakan amalan lestari dalam kalangan staf, pelajar dan komuniti setempat termasuk persiapan Majlis Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Kedah pada 22 April, di mana PTSB akan turut serta sebagai tuan rumah bersama.
Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah turut menzahirkan kesediaan untuk menjadi perantara antara industri, pihak berkuasa tempatan dan JAS Negeri Kedah dalam melaksanakan aktiviti lestari yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya pelajar dan staf PTSB.
Sementara itu, Encik Mohd Fitri berkongsi bahawa JAS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan industri dalam melaksanakan inisiatif kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar.
Kerjasama strategik ini diharapkan memberi impak besar kepada inisiatif kelestarian PTSB dalam usaha menjadi peneraju Kampus Lestari Politeknik Malaysia. PTSB komited dalam membudayakan amalan hijau dan memacu penjanaan teknologi lestari bagi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam.

Foto dan pelaporan:
Hafizulhadi bin Rahim,
Jawatankkuasa Unit Pengurusan Teknologi Hijau (UPTH)

#MakingPTSBGreat
#PTSBProud
#PTSBLestari
#JASKedah