LANGKAWI – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) sentiasa berusaha memberikan komitmen berterusan terhadap inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui penyertaan dalam Karnival TVET POLYCC 2025. Sepanjang acara yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, PTSB memperkenalkan inovasi terkini dalam teknologi automasi di ruang pameran Centre of Technology (COT).
Antara tarikan utama ialah MPS Sorting Station Festo yang mempamerkan teknologi sistem automasi yang canggih di mana objek-objek dapat diimbas, dikenal pasti dan disusun mengikut bahan, warna atau saiz secara automatik. Sistem ini menggunakan penderia induktif, kapasitif, warna dan jarak untuk mengenal pasti objek. Dengan bantuan Programmable Logic Controller (PLC), objek-objek tersebut dipisahkan secara tepat menggunakan silinder pneumatik dan motor penghantar serupa dengan sistem yang digunakan dalam industri perkilangan moden.
Demonstrasi sistem ini memberi gambaran jelas teknologi automasi berfungsi dalam meningkatkan kecekapan dalam proses pengeluaran, mengurangkan ralat manusia dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual sekali gus membentuk kefahaman bagaimana teknologi ini diaplikasikan dalam industri sebenar.
Penyertaan PTSB dalam karnival ini bukan sekadar pameran teknologi tetapi juga satu langkah proaktif dalam menyediakan tenaga kerja masa depan yang lebih kompeten dan selari dengan keperluan industri moden.
Pelaporan:
Normawar binti Ali & Norshahidah binti Manaf
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
#TVETForAll
#MakingPTSBGreat
#PTSBProud
#COTPTSB