LANGKAWI – Inkubator Aiskrim COT dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mengharumkan nama institusi apabila berjaya meraih tempat ketiga kategori Best Showcase Deco dalam pertandingan The Apprentice: POLYCC Product Challenge sempena Karnival TVET POLYCC 2025 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Pertandingan ini disertai oleh 28 pasukan dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh Malaysia. Setiap pasukan diuji untuk mengurus perniagaan sebenar, memasarkan produk menerusi transaksi tanpa tunai serta menampilkan kreativiti dan inovasi dalam pemasaran termasuk dekorasi gerai jualan.
Usahawan pelajar Aiskrim COT yang terdiri daripada Muhammad Afiq Ikmal bin Arif, Nurul Shahira binti Mohd Shamsuddin, Muhammad Muammar bin Ibrahim, Nur Farhana binti Mohd Noor Asmadi dan Nur Fatini Batrisyia binti Zulkifli telah membuktikan keupayaan mereka dalam dunia keusahawanan dengan bimbingan mentor Puan Fazaliana binti Zamzuri serta Unit Keusahawanan PTSB.
Keunikan konsep gerai, strategi jualan yang berkesan dan inovasi dalam memperkenalkan produk telah membantu mereka mencuri perhatian juri.
Prestasi ini mencerminkan keberkesanan ekosistem keusahawanan di PTSB dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdaya saing dalam dunia keusahawanan. Ia juga menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang ini sebagai kerjaya pilihan kelak.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pelajar PTSB di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekali gus mengukuhkan peranan institusi dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif dan kompetitif.
 
Pelaporan:
Fazaliana Zamzuri, Unit Keusahawanan
 
Kredit Foto:
Jurufoto PTSB dan JK Media Karnival TVET POLYCC 2025