KULIM, 24 Februari 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kulim dalam usaha membincangkan peluang kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah serta komuniti setempat.
Kunjungan ini diketuai oleh Ketua Cawangan KWSP Kulim, Puan Siti Aminah binti Mohammad Daud serta dua pegawai KWSP, Puan Shamras Jannahtul binti Shamsut dan Puan Nurul Lida binti Harun.
Pihak PTSB pula diwakili oleh Pengarah, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah bersama pengurusan tertinggi serta pegawai dari Unit Corporate Industry Services and Employability Center (CISEC).
Perbincangan telah mencapai kesepakatan untuk memperkukuh kerjasama dalam penganjuran program kesedaran kewangan dan perancangan persaraan kepada pelajar serta kakitangan. Inisiatif ini merangkumi sesi taklimat dan ceramah mengenai manfaat KWSP serta pengurusan kewangan selain program khidmat masyarakat yang melibatkan komuniti setempat.
Menurut Haji Mohd Ruzi, PTSB amat mengalu-alukan kolaborasi strategik ini bagi memastikan seluruh warga institusi mendapat pendedahan awal terhadap kepentingan literasi kewangan dan perancangan masa depan. Sesi perbincangan lanjut mengenai program yang dirancang akan diadakan kelak.
Kunjungan hormat ini membuka ruang kesepakatan lebih erat antara KWSP Cawangan Kulim dan PTSB dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perancangan kewangan yang lebih mampan sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan sosial pelajar serta komuniti setempat.
 
Pelaporan: Nurhaida Abdullah Hadi, CISEC
Foto: Ahmad Faidz Md Isa, PPDM