SEBERANG JAYA – Dalam usaha memperkukuh kompetensi pelajar terhadap bidang penyenggaraan elektrik, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melalui Jabatan Kejuruteraan Elektrik telah melaksanakan Bengkel Pengujian dan Penyenggaraan Sistem Pembumian di Kolej Komuniti Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Program ini melibatkan penyertaan 17 pelajar Semester 5 dan 6 dari kursus DET50093 Penyenggaraan dan Pembaikan Elektrik dengan bimbingan Encik Mohd Asri bin Hashim, Pensyarah Program Elektrik, Kolej Komuniti Seberang Jaya.
Bengkel ini dirangka bagi memperdalam kefahaman pelajar mengenai kepentingan sistem pembumian dalam industri elektrik di samping memberi pendedahan kepada teknik pengujian serta kaedah penyelenggaraan selaras dengan piawaian industri. Melalui gabungan sesi teori dan latihan praktikal, peserta bukan sahaja dapat memahami konsep asas malah berpeluang mengaplikasikan pengetahuan mereka menggunakan peralatan sebenar.
Sebagai sebahagian daripada kurikulum kursus, program ini bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal yang relevan serta memperkukuh daya saing mereka dalam industri kelak.
Diharapkan inisiatif ini dapat menjadi landasan kepada pelajar untuk memperoleh pensijilan kompetensi sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan elektrik.
 
Foto dan pelaporan:
Ts. Salmiah binti Nisa@Maddin
Jabatan Kejuruteraan Elektrik