Majlis Perhimpunan Bulan Februari 2025 yang telah berlangsung minggu lalu bukan sahaja menjadi platform bagi warga kerja mendapatkan maklumat terkini institusi tetapi turut mengetengahkan beberapa agenda termasuk pelancaran modul latihan industri, taklimat kelab kebajikan staf serta taklimat kewangan.
Salah satu pencapaian penting yang diumumkan ialah Pelancaran Modul Diploma Profesional Telekomunikasi (PDT) hasil kerjasama antara PTSB dan syarikat G2R Sdn. Bhd. Modul ini direka khas untuk memperkasa tenaga kerja dalam sektor telekomunikasi yang membolehkan mereka mengikuti latihan komprehensif selama enam bulan dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman kemahiran untuk peningkatan kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Selain itu, majlis turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan warga PTSB melalui Taklimat Akaun Pelaburan-i Rizq Plus oleh Bank Rakyat bertujuan memberikan pendedahan kepada staf mengenai instrumen pelaburan patuh syariah. Taklimat ini diadakan sebagai usaha meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan warga kerja PTSB serta membantu mereka merancang masa depan kewangan dengan lebih bijak dan sistematik.
Pengarah PTSB, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah dalam amanatnya turut mengingatkan seluruh warga kerja agar terus berpegang teguh kepada etika perkhidmatan awam dan berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan awam termasuk di media sosial.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh warga PTSB serta berpesan agar bulan penuh keberkatan ini dimanfaatkan untuk memperbaiki diri dan meningkatkan amal kebaikan.