KULIM – Kejohanan Esports yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Hi-Tech, Kulim baru-baru ini telah menerima sambutan meriah daripada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 serta pelajar dari sekolah-sekolah sekitar. Program ini bertujuan mempromosikan peluang pengajian di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) kepada golongan pelajar.
Kejohanan peringkat daerah Kulim Bandar Baharu ini merupakan anjuran bersama PTSB dan SMK Taman Hi-Tech dengan tema "Inspirasi Dunia Kerjaya Masa Hadapan". Acara ini dikendalikan oleh pelajar kokurikulum Esports Semester 2 bersama Kelab Esports PTSB.
Pada masa yang sama, Unit Promosi PTSB memanfaatkan platform ini dengan mengedarkan bahan promosi memberikan penerangan mengenai syarat kemasukan serta berkongsi maklumat tentang sistem pembelajaran dan prospek kerjaya graduan politeknik. Selain itu, aktiviti interaktif seperti permainan minda dan pameran turut diadakan bagi menarik minat pelajar.
Inisiatif ini diharapkan dapat memupuk kecenderungan pelajar sekolah untuk merebut peluang pengajian di Politeknik Malaysia khususnya PTSB sekali gus menggalakkan mereka memilih laluan TVET sebagai pilihan masa depan.
Foto dan pelaporan:
Puan Maziah binti Omar,
Unit Promosi - Jabatan Matematik Sains dan Komputer (JMSK)